Sunday, February 7, 2010

remaja

IMEJ & REPUTASI BIAR SEIMBANG

Gaji yang lumayan, pejabat yang mewah serta peluang kenaikan pangkat yang cepat, sudah cukup membuatkan kamu tertarik untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan. Biarpun begitu, kamu perlu kaji, apakah kemampuanmu itu sesuai ataupun berpatutan dengan apa yang kamu tuntut?

Jika kamu seorang gadis yang sedang memburu pekerjaan, sudah pastinya kamu ingin memiliki pekerjaan yang sesuai dengan minat dan kemampuanmu. Jangan biarkan minatmu yang menggunung tinggi itu berada di bawah tahap kemampuanmu sendiri. Jangan cepat terpengaruh pada iklan yang ditawarkan. Kadangkala, janji yang menawan itu tidak disertai dengan pensyaratan yang detil. Hinggakan, seringkali kita terlupa bahawa di sebalik janji-janji itu terkandung tuntutan kerja yang tinggi.

Sebelum kamu terjun ke satu bidang pekerjaan, apa yang harus kamu teliti ialah kehidupan dunia tersebut. Cuba sesuaikannya dengan keperibadianmu. Misalnya, jika kamu seorang pegawai perhubungan awam, kamu perlu fasih berbahasa asing, pandai bergaul, lincah dan bertanggunglawab. Jika kamu seorang yang bersikap tertutup dan pemalu, bagaimana mungkin kamu dapat memenuhi tuntutan pekerjaan tersebut.

Memahami bidang pekerjaan yang diminati, bukan sekadar kamu hanya mengetahuinya sahaja. Sebaliknya, profesion itu harus kamu kerjakannya dengan sempurna.

Pilih Kerjaya Yang Sesuai

Sebagai manusia biasa, sudah pasti kamu akan mengalami detik-detik yang kritis, gelisah serta menjemukan dalam mengharungi dunia pekerjaaan. Adakalanya, kamu akan menjadi malas untuk bangun pagi dan pergi ke pejabat. Apabila situasi itu berlaku, apa yang mula bermain-main difikiran kamu ialah untuk mencari pekerjaan lain. Apatah lagi, apabila kamu mendengar cerita dari teman-teman yang bergaji tinggi dan memiliki pelbagai kemudahan di tempat kerjanya. Ini akan membuatkan kamu semakin ghairah untuk mencari pekerjaan baru.

Keghairahan untuk mencari pekerjaan baru, tiba-tiba akan berhenti apabila timbulnya perasaan ragu dalam diri. Kamu akan tertanya-tanya sendiri, apakah kamu mampu untuk mendokong pekerjaan barumu itu? Bagaimana, jika tidak? Apakah masih ada peluang yang sama untuk kamu meraih kembali kepada pekerjaan lamamu? Kesemua pertanyaan ini akan bercampur aduk dan ianya bukanlah perkara mudah untuk dijawab. Apakah peralihan kerja itu merupakan sebuah gejala kerja yang normal?

Sebenarnya, memilih kerjaya yang serasi patut dirancang dengan mutlak. Ini bukanlah satu perkara yang mudah. Masih ramai di antara kita yang tidak faham dan benar-benar menyelami tentang kekuatan dan kelemahan diri sendiri, sehingga pilihan pekerjaan yang ingin diraih menjadi tidak tepat. Kita mula mengeluh apabila menyedari pilihan kerja yang seringkali datang itu bukanlah terbaik. Itulah sebabnya, kita sering menganggap karier yang kita pegang ini cuma sebagai batu loncatan, sementara menanti peluang yang lebih tinggi.

Dalam hidup, walau sesaatpun situasi persekitaran akan berubah setiap detik. Perubahan gaya hidup menjadi pendorong bagi seseorang untuk mengubah taraf pekerjaannya. Oleh itu, memilih kerjaya memerlukan perancangan yang matang. Kamu tidak perlu bersikap menunggu sehingga adanya tawaran yang lebih baik untuk berpindah kerja. Langkah pertama yarig perlu kamu ambil ialah dengan mencari keperibadian dirimu sendiri. Kenali kemampuan dan kelemahan dirimu dengan sebaik-baiknya. Jadikan kedua perkara itu sebagai batasan untuk kamu memilih pekerjaan. Cara ini akan membuatkan kamu belajar dan berlatih untuk memperbaiki segala kelemahan yang kamu miliki dan kemampuanmu juga akan menjadi semakin bertambah. Kamu boleh mengunakannya sebagai bekal tambahan apabila berhadapan dengan dunia pekerjaan barumu.

Situasi dan lingkungan kerja dewasa ini semakin mencabar. Hanya mereka yang berprestasi sahaja yang dapat memupuk reputasi. Itulah sebabnya, kamu harus bersiap sedia dengan perubahan dan persaingan di tempat kerja. Kamu perlu memantapkan pendirian seteguh yang mungkin. Kamu perlu menanam cita-cita terhadap kemajuan kariermu. Jangan takut pada persaingan kerana apabila kamu bersikap pasif, sudah pasti kamu akan tertinggal jauh di belakang.

Langkah kedua, kenali bidang karier yang sesuai dengan kemampuanmu. Arahkan kariermu ke tujuan itu dan apabila kamu belum mencapai karier yang kamu idam-idamkan itu, cuba rencanakan langkah-langkah yang dapat membantu kamu memperolehi pekerjaan tersebut. Cara yang paling mudah ialah melalui pergaulan.

Jika kamu berminat dalam hidang kewartawanan, mulailah bergaul dengan teman-teman yang bekerja di syarikat penerbitan. Melalui mereka kamu boleh belajar tentang situasi dan cara mereka bekerja. Sekaligus kamu akan dapat membuat jaringan kerja tersebut. Apabila muncul sahaja peluang, sudah pasti teman-temanmu akan memberi bantuan dan kesempatan untuk kamu bekerja di situ terbuka luas.

Apabila kamu melakukan sesuatu, sudah pasti ada risikonya. Hitungkan masak-masak risiko tersebut. Jika tidak terlalu menekan, jangan sesekali kamu memperbesar-besarkannya. Amat penting bagi kamu untuk menekan risiko itu sekecil yang mungkin. Jangan ambil risiko terhadap pekerjaan yang menjanjikan gaji yang mahal, sedangkan kamu sendiri tidak yakin dapat melakukannya dengan sempurna. Sekiranya kamu gagal mengendalikan pekerjaan itu dengan baik, sudah pasti kegagalan itu akan mewarisi riwayat pekerjaanmu walau ke mana jua kamu pergi. Jadi, berhati-hati dalam menjaga reputasi di tempat kerjamu.


No comments:

Post a Comment